Kluang: Seorang lelaki ditahan orang ramai selepas cuba mencuri sebuah kenderaan di tempat awam di Dataran Tasek Kluang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 pagi, seorang pesara kerajaan berusia awal 60-an meletakkan Proton Wira miliknya di tempat letak kenderaan taman rekreasi itu sebelum berjoging.
Sumber berkata, suspek yang berusia awal 30-an dikatakan menghampiri sebelum memecah masuk kereta mangsa dan cuba membuka kunci keselamatan stereng kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tindakan suspek yang mencurigakan itu disedari beberapa orang awam yang terlebih dulu memerhatikan gelagatnya lalu mendekati dan meninjau keadaan kereta yang diletakkan di kawasan itu.
Menurutnya, suspek yang turut membawa set walkie-talkie itu dipercayai berkeliaran di sekitar kawasan tempat letak kenderaan berkenaan sebelum tiba-tiba hilang daripada pandangan menyebabkan orang ramai melakukan pemeriksaan.
“Selepas melakukan pemeriksaan dari satu kenderaan ke satu kenderaan, kumpulan orang awam berkenaan menemui suspek dalam sebuah Proton Wira cuba membuka kunci stereng,” katanya.
Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran kumpulan lelaki terbabit cuba melarikan diri, namun dikepung dan ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.
“Suspek memberi alasan tersilap masuk kereta selepas bersiar bersama keluarga di kawasan berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Kluang,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad berkata, suspek ditahan dengan kerjasama orang ramai ketika cuba melarikan kereta pengunjung taman rekreasi itu.
Beliau berkata, polis masih menyiasat latar belakang suspek sama ada memiliki rekod jenayah lampau dan pernah terbabit dalam beberapa kes kecurian kenderaan di sekitar Kluang atau sebaliknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
- HM
No comments:
Post a Comment