Wednesday, 6 May 2015

Bapa Tunggal Curi Syampu Untuk Beli Barang Anak


KUALA LUMPUR - Seorang bapa tunggal yang mencuri syampu untuk membeli barang keperluan anaknya merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

Bambang Ekosumantri Sutarji, 28, seorang pembantu kedai makan, rela dihukum penjara kerana jika mahkamah menjatuhkan hukuman denda, dia tidak mampu membayarnya.

"Saya sudah menyesal. Ini kesalahan pertama saya, saya terpaksa mencuri untuk menjual syampu itu bagi keperluan barangan anak saya yang berusia setahun 10 bulan," katanya semasa membuat rayuan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dipenjara dan boleh dikenakan denda dan sebat.

Mahkamah kemudian memerintahkan Bambang, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri lima botol syampu di kedai Watson's dipenjara empat bulan bermula dari tarikh dia ditangkap, 5 Mei lepas.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua barang curi itu dipulangkan kepada kedai berkenaan.

Bambang, yang tidak diwakili peguam, didakwa mencuri lima botol syampu yang kesemuanya bernilai RM75 di Kedai Watson's Jalan Sultan Ismail, di sini pada 10 pagi, 5 Mei lepas. 

Mengikut fakta kes, seorang penolong penyelia di bilik pemantauan rakaman kamera litar tertutup kedai Watson's telah ternampak tertuduh mengambil syampu di rak jualan dan memasukkan ke dalam sebuah beg yang dibawanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. - Bernama

No comments:

Post a Comment