Sunday, 10 May 2015

Kumpulan Honda Cuba Lumba Haram Di Kesas Highway



PETALING JAYA - Hasrat sekumpulan pemandu kereta menjadikan kawasan Lebuhraya Plus bermula di Plaza Tol Awan Besar arah Kuala Lumpur di sini, sebagai litar lumba tidak menjadi apabila mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang melakukan operasi khas mencegah lumba haram, awal pagi, semalam.

Difahamkan kumpulan yang memandu kereta jenis Honda itu ditahan ketika cuba mengelak sekatan jalan dengan berhenti di kawasan rehat dan rawat berhampiran plaza tol berkenaan.

Pengarah JPJ Selangor, V. Valluvan Vello berkata, menyedari perkara itu, pihaknya menghantar anggota dan pegawai ke lokasi berkenaan sebelum meminta kumpulan kereta berkenaan bergerak ke arah sekatan jalan diiringi anggota polis trafik dan JPJ.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati rata-rata kereta berkenaan diubahsuai disyaki bagi tujuan lumba haram.

“Seramai 97 pemilik kenderaan dikenakan tindakan kerana mengubahsuai kenderaan untuk tujuan berlumba,” katanya kepada pemberita, semalam.

Pihaknya sedia maklum kawasan lebuh raya itu antara kawasan popular kumpulan pemandu kereta berlumba haram.

“JPJ Selangor akan meningkatkan operasi dan tindakan tegas mengikut undang-undang diambil jika jika mereka yang ditahan terlibat lumba haram,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemandu kenderaan agar tidak sewenang-wenangnya mengubahsuai kenderaan untuk tujuan berlumba kerana risiko berlaku kemalangan maut amat tinggi.

Operasi bersepadu bersama Jabatan Alam sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama lima jam berakhir jam 4 pagi itu, turut memeriksa 345 buah kenderaan.

Antara kesalahan lain yang dikesan adalah penggunaan cermin gelap tidak ikut spesifikasi, cukai jalan palsu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Dalam pada itu, seorang pemilik bengkel berusia 30 tahun ditahan selepas pemeriksaan mendapati kereta dipandunya menggunakan cukai milik kenderaan lain.

Lelaki itu yang mengemukakan pelbagai alasan, walau bagaimanapun ditahan untuk siasatan selepas pemeriksaan air kencing mengesahkan dia positif dadah syabu dan ganja.

Tindakan diambil di bawah Seksyen 3(1) Akta penagih dadah rawatan dan pemulihan 1983.




-SH

No comments:

Post a Comment