Sunday, 10 May 2015

Pusat Karaoke Tawarkan Khidmat GRO



KUALA LUMPUR - Taktik sebuah pusat karaoke mengaut untung dengan menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) terbongkar, selepas sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, menyerbunya semalam.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Ibrahim Husin berkata, Ops Noda kira-kira jam 2 pagi itu dijalankan hasil risikan selama dua hari selepas menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti terlarang premis tersebut di Bandar Manjalara, Kepong, dekat sini.

Menurutnya, 17 perempuan warga Vietnam disyaki GRO berusia 18 hingga 33 tahun, berjaya ditahan.

“Ketika diserbu, anggota polis mendapati mereka sibuk menawarkan khidmat seks di luar premis.

“Mereka bertempiaran selepas menyedari kehadiran polis, tetapi berjaya ditahan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai penjaga premis berusia 21 tahun bagi membantu siasatan.

Premis itu baru beroperasi seminggu dan lesen perniagaan yang sah sehingga 31 Julai depan.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39B Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.




- SH

No comments:

Post a Comment