KANGAR - Dua orang lelaki dipercayai menjadi pengedar dadah kepada nelayan di Kuala Perlis diberkas bersama pelbagai jenis bahan larangan itu oleh polis dalam satu operasi pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supritenden Abdul Rahman Noordin berkata, turut dirampas wang tunai dan sebuah kereta Honda Civic, semuanya bernilai kira-kira RM51,000.
Katanya, sepasukan anggota Jabatan Narkotik Negeri menyerbu sebuah rumah di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis kira-kira 11.50 pagi semalam setelah membuat risikan selama beberapa hari.
"Kedua-dua suspek merupakan penduduk tempatan berumur 26 dan 32 tahun dan positif dadah serta mempunyai rekod berkaitan penyalahgunaan dadah, sedang tidur semasa serbuan dibuat.
"Mereka juga dipercayai bergerak di kawasan perairan Kuala Perlis dan membekalkan dadah kepada nelayan negara jiran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment