SEREMBAN - Seorang lelaki warga negara Pakistan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tertuduh dipenjara selama 15 tahun kerana menyebabkan kematian majikannya, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Kamaludin Md. Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Nabi Shah Said Bakhshah Buner, 33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Isteri tertuduh, Yang Uteh Manap, 67, seorang warga tempatan pula dipenjara selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membantu suaminya menanam mayat si mati.
Kamaludin mengarahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Said Nabi Shah telah menyebabkan kecederaan tubuh badan sehingga mendatangkan kematian ke atas majikannya yang juga warga Pakistan, Fazli Subhan, 50, manakala isterinya membantu pekerja kedai perabot terbabit menyembunyikan mayat mangsa dengan cara menanam mayat si mati di hadapan kediaman mereka bagi menyelamatkan suaminya daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 April kira-kira pukul 1.30 pagi di Kampung Legong Ulu, Kota di Rembau.
- Kosmo
No comments:
Post a Comment